Kawasan liputan Sibu_FM

Dari segi operasi stesen RTM Sibu bertanggungjawab membuat liputan mengutip dan mengumpul serta memproses bahan-bahan siaran daripada seluruh lembah Rejang yang menjangkaui empat bahagian iaitu Bahagian Sibu di tengah-tengah, Bahagian Sarikei dan Bahagian Mukah di pesisiran dan Bahagian Kapit di pedalaman.

Dari segi demografi inilah kawasan yang jumlah suku kaumnya terbanyak dengan suku kaum utama Melayu, Iban, Melanau, Cina dan suku-suku dan subsuku kumpulan Orang Ulu di sepanjang Sungai Rejang, sungai terpanjang di Malaysia.

Dalam operasinya RTM Sibu dibantu oleh dua buah stesen rakaman di RTM Sarikei di hilir dan RTM Kapit di hulu. Kedua-dua stesen ini memiliki studio rakaman yang boleh menyalurkan bahan langsung sama ada ke Sibu atau ke Kuching. Malah studionya boleh digunakan untuk siaran langsung melalui pemancaran di Sibu.

Untuk beberapa ketika pernah wujud sebuah studio rakaman dan stesen siaran di Belaga untuk Bahagian Kayan-Kenyah. Bagaimanapun setelah kemudahan teknikal dipertingkatan dan pemancaran siaran boleh dibuat langsung dari ibu pejabat RTM Sarawak di Kuching maka stesen ini ditutup dalam bulan Mac tahun 2000.

Dari segi sempadan politik negeri, kawasan liputan RTM Sibu meliputi 22 kawasan Dewan Undangan Negeri dan 10 kawasan Parlimen. Daripada jumlah itu hadir cukup ramai pemimpin peringkat negeri dan persekutuan berpangkat Menteri Persekutuan, Timbalan Menteri Persekutuan, Menteri Negeri, Menteri Muda Negeri dan Setiausaha Parlimen.

Kini kawasan Dewan Undangan Negeri yang diduduki oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Dr Haji Abdul Taib bin Mahmud letaknya di Balingian, iaitu di dalam kawasan liputan RTM Sibu. Juga kini Setiausaha Kerajaan Negeri berasal dari kawasan liputan stesen ini.